Sumbangan Aidilfitri Kepada 100 Ikon Hiburan Dan Sukan
Sumbangan Aidilfitri Kepada 100 Ikon Hiburan Dan Sukan
FMT dan seorang dermawan menyumbang RM100,000 kepada artis dan bekas atlet yang memerlukan sempena Aidilfitri.
Penghibur dan atlet yang menjadi idola rakyat Malaysia menerusi bakat dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat. Ramai antara mereka akan berdepan kesulitan menyambut Aidilfitri dan ada yang kurang upaya sehinggalah seorang dermawan bersama FMT untuk menyumbang RM1,000 kepada 100 artis dan atlet.
Seramai 50 ahli Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menikmati sedikit sinar Aidilfitri pada satu majlis Ramadan yang menghimpunkan kira-kira 200 orang di Hotel Parkroyal.
Antara penerimanya termasuk artis legenda Hail Amir; Uji Rashid; Norlia Ghani; Zaiton Sameon; Shima; Ali XPDC; Zaleha Hamid; Sophia Ibrahim; S Atan dan Shuib (Freedom).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali turut menyerikan majlis sebagai tetamu kehormat, sementara kehadiran artis lain seperti Farahdhiya; Khadijah Ibrahim; Radhi Khalid; Rozita Rohaizad; Ezlynn; Norshila Amin dan Haiza turut memeriahkan suasana.
Pada 4 April, 50 ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan turut menerima sumbangan dalam satu lagi majlis Ramadan di Hotel Concorde.
Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mencemar duli menghadiri acara itu.
‘Bukan sekadar tugas malah suatu penghormatan’ Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, portal media itu berdedikasi menyokong dan meraikan komuniti seni dan sukan.
Menurutnya, FMT bermula dengan pasukan kecil yang mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya menjadi antara organisasi media terunggul negara ini.
“Hari ini, FMT memperoleh lebih enam juta pembaca sebulan, dengan lebih 33% ‘share of voice’ dalam talian yang membuktikan kepercayaan serta sokongan pembaca,” katanya. Kepercayaan ini, dan platform FMT yang berpengaruh, mendorong kami bertindak dengan bertanggungjawab dan menyumbang secara positif kepada masyarakat, termasuk dalam sektor seni dan sukan.
Azeem berkata, keupayaan FMT menyumbangkan RM100,000 itu hasil kemurahan hati dermawan berkenaan, seterusnya “membolehkan kami meluaskan komitmen terhadap industri seni dan sukan.” katanya, memberikan sokongan kepada golongan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang amat memuaskan bagi penyumbang.
No comments
I want you to know how much I value your support.