Terbaru/News

MINI ESPORTSCON DI PARLIMEN MALAYSIA: PENGIKTIRAFAN INDUSTRI ESUKAN MALAYSIA

MINI ESPORTSCON DI PARLIMEN MALAYSIA: PENGIKTIRAFAN INDUSTRI ESUKAN MALAYSIA


Mini EsportsCon anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) buat julung-julung kalinya telah menghimpunkan pemegang taruh esukan dalam kalangan penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa di bangunan utama Parlimen Malaysia.

Acara ini dianjurkan bagi meraikan industri esukan yang dinamik dan pesat berkembang di Malaysia, di samping menyediakan ruang libat urus antara pemain industri sukan elektronik dan warga Parlimen khususnya Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.


“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap esukan yang semakin berkembang,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan ketika sesi walkabout ke Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.


Penganjuran acara ini turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios.

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan sesi demonstrasi permainan yang menawarkan pengalaman secara terus dengan pelbagai judul permainan. Acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025. MESF turut mengetengahkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri khusus para pemain.

Esports Integrated (ESI)
Esports Integrated (ESI) ialah satu inisiatif untuk memangkin ekosistem esukan yang bertenaga, mampan dan inklusif yang dikuasakan oleh Impact Integrated di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan. ESI berhasrat untuk mencipta struktur dan program untuk menyokong penubuhan ekosistem yang bertenaga, mampan dan inklusif yang membolehkan pertumbuhan, memastikan perlindungan dan mengembangkan kepelbagaian. Sebagai satu inisiatif, ESI mengambil berat tentang memupuk dan menggalakkan pertumbuhan dan pengembangan ekosistem Esports sambil pada masa yang sama memastikan persekitaran ekosistem menerima nilai yang sihat dan inklusif.

Impact Integrated
Impact Integrated adalah sebuah agensi pemangkin strategik untuk dan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) yang didorong oleh impak dan bukan berkeuntungan, Impact Integrated mempunyai tiga bidang tumpuan iaitu belia, sukan elektronik dan media merentasi beberapa jenama utama; Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix dan mySukan TV.

No comments

I want you to know how much I value your support.

KARNIVAL MAAL HIJRAH 2.0 PERKIM DATUK KERAMAT DAN MASJID NURUL ISLAM.

KARNIVAL MAAL HIJRAH 2.0 ANJURAN PERKIM DATUK KERAMAT DAN MASJID NURUL ISLAM. PERKIM Datuk Keramat Dengan kerjasama Masjid Nurul Islam Desa ...